
Sambutan 14 Februari sebenarnya banyak berkaitan amalan ritual penganut Kristian
TIBANYA 14 Februari tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang.
Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang sudah memasang niat untuk meraikannya.
Malah, ia sebagai penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah juga keluarga serta sahabat handai.
Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan:
“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.”
Buku Elak Sambut Valentine’s Day terbitan JAKIM membincangkan secara lanjut alasan mengapa umat Islam dinasihatkan supaya tidak meraikan hari yang mengambil sempena nama paderi besar Kristian Saint Valentine.
Berdasarkan fakta dalam buku itu, bagi merungkaikan isu kenapa umat Islam perlu elak menyambut Hari Kekasih, ialah dengan mendalami dan memahami apakah maksud Valentine itu sendiri serta asal usul ia menjadi sebuah perayaan.
Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud: kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology dand History of First Name).
Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri.
Justeru, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan itu dengan dinamakan hari Valentine.
Ada tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula ketika pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti orang Juno, ratu kepada dewa dan dewi Rom.
Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisional masyarakat Rom iaitu mana pada malam pesta berkenaan, nama gadis Rom ditulis atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.
Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 masihi, St Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 masihi). Pada waktu itu Raja Claudius membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terbabit dalam peperangan.
Menyedari hakikat itu, St Valentine dan St Marius mengahwinkan orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan itu, St Valentine ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari tahun 270 masihi.
Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St Valentine sebagai upacara keagamaan.
Pendapat ketiga pula menyatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.
Apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St Valentine adalah paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.
Tindakan St Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.
Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine adalah perayaan keagamaan yang disambut orang Kristian. Malah jika merujuk kepada kenyataan pihak Kristian hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual dalam agama Kristian.
Laman web Spiritrestoration.org : The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah tajuk Pengertian Hari-Hari Suci Keagamaan – indeks Saint Valentine’s Day menyebut: Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian. St Valentine adalah syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di Amerika Syarikat sebagai perayaan cinta di zaman sekular.
Termaktub dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa juga versi berkenaan dengan St Valentine, kesemua mereka dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut: ’sekurang-kurangnya ada tiga orang St Valentine yang berbeza, semua mereka adalah syahid, ia disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.’
Berdasarkan fakta itu, jelas sekali Hari Valentine adalah perayaan yang menjadi amalan ritual agama Kristian. Ini sekali gus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah Islam.
Islam sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain.
Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan amalan ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain.
Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)
Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal bersifat individu seperti dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariat Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
..
Hari Kekasih sekadar suka-suka??
HARI ini 14 Februari, tibalah hari yang dikomersialkan sebagai Valentine’s Day atau Hari Kekasih.
Hari yang ditunggu-tunggu oleh sesetengah pasangan kekasih bukan Islam untuk bertemu, meluahkan perasaan cinta masing serta bertukar-tukar hadiah.
Malangnya dewasa ini semakin ramai pula umat Islam terutamanya golongan remaja yang terpengaruh dengan acara sambutannya dan turut merayakannya. Malah ada yang bertindak di luar batasan sehingga timbul gejala sosial lain seperti perzinaan, rogol dan sebagainya. Akibatnya sangat buruk bukan sahaja kepada remaja itu sendiri, tetapi juga kepada keluarga, generasi akan datang serta pada agama dan negara.
Usaha pihak yang tampil untuk memperjelas berkenaan larangan menyambut hari ini patut dipuji. Hal ini membantu mengelakkan umat Islam daripada terjebak dengan program sambutan yang bercanggah dengan syariat Islam.
Namun ironinya pada masa yang sama kedapatan juga pihak mempromosikan sambutan hari ini yang mana kumpulan sasarannya adalah golongan belia Islam itu sendiri. Ibarat satu pihak berusaha membina sebuah kota tetapi satu pihak berusaha merobohkan kota yang terbina.
Dalam situasi sosial yang meruncing ini, strategi terbaik buat remaja Islam hari ini adalah dengan membina kekuatan dalaman yang berlandaskan faktor keilmuan dan keimanan. Berkenaan faktor keilmuan, penjelasan berkenaan larangan menyambut Hari Kekasih perlu disebarkan agar remaja memahaminya.
Faktor keimanan pula berperanan menentukan pertimbangan remaja sama ada mahu menerima penjelasan tersebut atau tidak. Bagi yang berfikir dan melihat dengan mata hati, mereka akan menerima serta mengelakkan diri daripada menyambut Hari Kekasih.
Namun ada yang berdegil menyambut Hari Kekasih walaupun setelah mengetahui penjelasan berkenaan isu tersebut, maka ditakuti bahawa pertimbangan remaja tersebut didorong oleh perasaan nafsu diri. Malah ada yang meluahkan hujah yang pelbagai demi menjustifikasikan sambutan tersebut.
Ada yang menyatakan bahawa mereka bukannya menyambut Hari Kekasih secara berlebih-lebihan, hanya sekadar kiriman satu khidmat pesanan ringkas (SMS) atau sekuntum bunga. Besar atau kecil sambutan yang dilakukan bukanlah persoalannya, tetapi pokok pangkalnya niat beserta tindakan walau sekecil mana demi menyambutnya adalah perlu untuk dielakkan.
Ada pula yang mempersoal tidaklah salah menjadikan satu hari khas untuk berkasih-sayang seperti 14 Februari ini. Malah ditambah dengan hujah mereka bahawa bukannya mereka bermaksud mengingati peristiwa sejarah berkenaan tarikh tersebut. Ada pula yang menyatakan bahawa mereka sekadar suka-suka menyambutnya di samping mengeratkan tali persahabatan.
Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan remaja terikut-ikut dengan budaya ini. Pertama, kalangan remaja Muslim tidak tahu latar belakang sejarah Valentine’s Day, sehingga mereka tidak merasa bersalah untuk mengikutinya.
Dalam erti kata lain, terdapat remaja Muslim yang memiliki kesedaran mengenai sejarah yang rendah. Sejarah Valentine’s Day dikatakan berasal dari kisah seorang paderi Kristian yang dihukum bunuh kerana mempertahan tindakannya mengahwinkan ramai askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.
Apabila hal ini berlaku di celah-celah ceteknya pengetahuan tentang sejarah serta kerapuhan benteng iman, remaja Muslim tidak mampu untuk menolak budaya ini, lalu menganggap bahawa ini adalah sebahagian daripada perayaan global dan tidak berkaitan dengan agama.
Hilangnya jati diri di kalangan remaja Muslim memburukkan lagi situasi ini, lalu remaja Muslim bagai terikut-ikut dengan budaya asing ini terutama bagi mereka yang sedang dilamun cinta.
Banyak lagi punca yang menyebabkan remaja terikut-ikut budaya ini , tetapi apa yang penting di sini adalah peranan yang harus dimainkan oleh banyak pihak dalam menyedarkan remaja akan hal ini.
Cinta yang hakiki
Realitinya, Islam adalah agama yang praktikal, adil dan tidak mengongkong. Islam agama yang mengatur kehidupan dengan lebih sempurna. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih-sayang di antara umatnya, tetapi perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak.
Cinta yang utama adalah cinta kepada Allah, Rasul-Nya, dan jihad di jalan-Nya. Cinta hakiki yang berlandaskan iman akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan penciptaan. Cinta hakiki akan melahirkan jiwa rela berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu. Cinta Ilahi akan memandu manusia supaya hidup lebih bererti.
Kasih sesama makhluk pada sifatnya adalah tidak kekal, ia bergantung kepada keadaan, tetapi kasih hamba kepada pencipta-Nya dengan iman dan takwa, manakala kasih Pencipta kepada hamba berkekalan.
Hal ini jelas sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Katakanlah (Wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui. (Ali Imran: 31).
Islam memandang cinta kasih itu sebagai rahmat daripada Allah. Maka, seorang mukmin tidak dianggap beriman sebelum dia berhasil mencintai saudaranya seumpama dia mencinta dirinya sendiri (riwayat Muslim).
Perumpamaan kasih sayang seorang mukmin umpama tubuh; jika salah satu anggota tubuh terasa sakit, maka tubuh yang lainnya turut berasa sakit. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Justeru, di mata Islam mencintai dan dicintai itu adalah suatu yang suci yang harus disuburkan dalam dada setiap pemeluknya tidak kira masa, keadaan dan tempat. Oleh sebab itu, Islam menghalalkan perkahwinan sebagai saluran yang betul untuk meluahkan perasaan cinta dan keinginan berkasih- sayang. Pun begitu, sebagai remaja, janganlah kita lupa bahawa kasih-sayang kepada ibu bapa, keluarga, agama, bangsa dan negara juga adalah sebahagian daripada tuntutan agama.
Peranan banyak pihak
Ibu bapa adalah pihak terdekat dengan anak-anak dalam mendidik mereka agar tidak menyambut Hari Kekasih. Hal ini merangkumi perbincangan ilmiah dengan anak-anak agar mereka faham berkenaan maksud larangan meraikannya. Bagi ibu bapa yang kurang arif untuk menjelaskannya kepada anak-anak secara berkesan, mereka boleh memberikan artikel-artikel yang berkaitan untuk dibaca.
Kesan globalisasi pada hari ini ternyata menuntut pihak ibu bapa agar lebih berketrampilan dari segi intelektual demi menangkis serangan pemikiran (ghazwatul fikr) Barat daripada menguasai minda anak-anak.
Ibu bapa harus menyuburkan perasaan kasih-sayang yang berlandaskan keimanan dan tidak hanya menjurus kepada memenuhi keperluan diri dan nafsu.
Ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik dengan bergaul secara berhikmah, bijaksana serta berlemah lembut dengan ahli keluarga. Aktiviti-aktiviti boleh dilakukan secara berjemaah, serta pemberian hadiah tidak semestinya pada hari-hari tertentu, tetapi juga pada hari-hari biasa.
Dengan ini, anak-anak memahami bahawa kasih-sayang bukanlah terletak kepada motif pemberian tersebut, tetapi lebih kepada mengekalkan hubungan baik serta dapat bersama-sama menuju ke jalan yang diredai.
Peranan media dan masyarakat juga amat penting dalam membantu remaja untuk memahami mengapa mereka tidak harus terikut-ikut dengan budaya ini. Media berperanan mendidik masyarakat melalui tulisan, rancangan serta program-program supaya manusia memahami bahawa cinta bukanlah berlandaskan kepada nafsu semata-mata.
Masyarakat juga harus berperanan sebagai agen pendidik iaitu tidak menyertai ‘perayaan’ ini dan para peniaga tidak pula mengambil kesempatan di atas sambutan ini dengan mengadakan sambutan besar-besaran di kompleks beli belah, kedai-kedai cenderamata dan sebagainya.
Justeru, banyak pihak boleh membantu dalam mendidik remaja supaya tidak mengikut budaya asing ini tanpa memahami akan natijahnya.
Kesimpulan
Kasih sayang dalam Islam bersifat universal. Ia tidak dibatasi ruang dan waktu, juga tidak dibatasi objek dan motif. Kasih-sayang diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturahim, menjenguk yang sakit, meringankan beban jiran tetangga yang sedang ditimpa musibah, mendamaikan orang yang bertelagah, mengajak kepada kebenaran dan mencegah perbuatan munkar.
Dalam pada itu, Islam tidak melarang kita saling mengenali adat resam serta budaya umat lain selagi tidak melewati batasan yang ditetapkan. Bagi perkara yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, maka kita perlu menjauhinya sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Kaafiruun yang bermaksud: Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.
Sudah saatnya remaja Islam sedar dari kejahilan dan bangkit ke arah masa depan yang lebih baik. Kalau tidak sekarang bila lagi, kalau bukan kita, lalu siapa lagi??
..
Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan ataupun filem-filem yang bertemakan perayaan tersebut.
Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai atau dikasihi.
Perayaan ini biasanya diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat yang romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah berupa bungkusan coklat atau bunga yang bertuliskan perkataan ‘I wish you will be my valentine’ kepada orang yang dikasihi. Setelah itu diadakan pesta-pesta yang diisi dengan hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya. Ini tidak menghairankan kerana budaya ini sememangnya diimport dari budaya barat yang bersifat serba boleh dan hedonisme (menurut hawa nafsu).
Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasang-pasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.
Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku Hussain dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk ‘Apa dihairankan dengan parti buih.’ Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa ke atas ‘parti buih’ di Bangsar yang diraikan dengan tarian bogel dan pakaian mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun sebelumnya pernah ada penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa bersempena Hari Kekasih tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa Masjid Abu Bakar al-Siddiq, Bangsar.
Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama ‘Valentine’s Special.’ Di samping itu, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.
Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan? Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud; kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology and History of First Name).
Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.
Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.
Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi.
Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.
Manakala pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.
Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.
Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian.
Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah topik Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci keagamaan), di bawah indeks Saint Valentine’s Day menyebut bahawa: “Christian celebration of the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a secular celebration of love.” Bermaksud : Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.
Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka adalah dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut : At least three different Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the early martyrologies under date of 14 February. Bermaksud : Sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza, kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.
Manakala Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid, ianya merupakan servis istimewa hari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di ruang pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan ‘Corpus St. Valentine Martyris’. Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka baru sahaja meletakkannya di dalam keranda kayu di dalam kotak kadbod di atas almari berhampiran rumah gereja.
Dalam pada itu, nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania, St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church di Bethel Park, Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich dan St. Valentine Church di Buffalo, New York.
Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam.
Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain.
Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.;
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
(al-Kafirun ayat 1-6)
Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam.
Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.;
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam”.
Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia